Saya ambil perhatian perbualan di X, terutamanya dari kalangan bukan Islam, mereka bersungguh-sungguh mahu menuntut hak sama rata diberikan kepada mereka seperti kemasukan ke UiTM dan lain-lain lagi kelebihan lain yang telah diperuntukkan kepada orang Melayu dan Bumiputera.
Konsep kesamarataan ini mirip ideologi keadilan sosialis/komunis di mana kerajaan yang mentadbir akan mengawal sepenuhnya semua industri perniagaan negara dan hasilnya pula akan diagihkan sama rata kepada rakyat marhaen, tiada lagi perbezaan kelas kaya dan miskin serta etnik bangsa. Ironinya, pengagihan sama rata ini hanyalah terpakai untuk rakyat marhaen tetapi kekayaan sebenarnya tertumpu kepada mereka yang mengagihkan hasil tersebut.
Konsep hak sama rata mereka ini berbeza dengan Islam yang menekankan bahawa keadilan itu adalah menempatkan sesuatu pada tempatnya.
Saya ambil petikan dari Surah Al-Qalam ayat 68:35 dan 68:36 yang berbunyi;
68:35 “Patutkah Kami (berlaku tidak adil, dengan) menjadikan orang-orang Islam (yang taat), sama seperti orang-orang yang berdosa (yang kufur ingkar)?”
68:36 “Apa sudah jadi kepada akal kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)?|
Perlembagaan Malaysia telah menetapkan bahawa Islam adalah agama bagi persekutuan dan orang Melayu Islam telah diberikan tempat yang istimewa selaku penjaga untuk agama ini.
Namun begitu, saya berpendapat bahawa amanah dan kedudukan istimewa ini perlu diimbangi dengan peraturan yang lebih ketat, untuk mengekang kes pecah amanah dari berulang kali berlaku. Kelebihan yang diberikan ini haruslah sepadan dengan hukumannya jika pelaku didapati bersalah.
Oleh kerana itu, saya menyokong supaya mahkamah shariah diperkasakan lagi melalui perbincangan dan kerjasama dengan peguam Muslim lain yang arif dalam sistem mahkamah konvensional.
Jauhari Johar
6 Mac 2025


Leave a comment