KERAJAAN TERLALU KERAS DENGAN ORANG SUSAH

Insiden yang melibatkan pak cik petai baru-baru ini memaparkan sekilas realiti kehidupan orang susah dan kemerosotan sifat empati dari kalangan pihak berkuasa tempatan seperti DBKL.

Penekanan daripada pihak berkuasa adalah suatu realiti kehidupan yang biasa dilalui mereka dari golongan susah, yang tidak mempunyai pendidikan atau kemampuan kewangan untuk mendapatkan premis perniagaan mereka sendiri.

Mereka, terutamanya yang sudah berusia, tidak ada pilihan lain kecuali dengan berniaga di bahu jalan secara tidak sah demi mencari sesuap nasi atau wang tambahan.

Undang-undang pihak berkuasa tempatan pula terlalu tegas dengan menyatakan bahawa tiada sebarang siapapun yang boleh menjalankan perniagaan di bahu jalan, menghalang laluan pejalan kaki atau mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

Ada pihak berkuasa yang menawarkan mereka tempat berasingan untuk berniaga, namun mereka perlu membayar sewa dan kadar sewa yang ditetapkan pula tidak setimpal dengan hasil jualan yang mereka perolehi kerana kawasan baru yang mereka ditempatkan bukanlah lokasi “high traffic” atau mempunyai pengunjung yang ramai.

Tekanan daripada pihak berkuasa tempatan ini, yang majoritinya dari kawasan bandar, secara tidak langsung akan mengusir orang-orang susah ini keluar dari bandar.

Perkara ini perlu dikaji semula dengan teliti agar orang-orang susah yang menetap di bandar tidak lagi ditekan sebegini rupa. Saya ingin mencadangkan beberapa perkara:

  1. Lokasi berniaga yang diberikan mereka perlulah di lokasi yang strategik dan mempunyai pengunjung yang ramai
  2. Kadar sewa pula perlu diberikan dengan kadar yang rendah supaya ada sedikit margin keuntungan untuk mereka bawa pulang.
  3. Beri mereka bimbingan dan tempoh waktu hingga mereka dapat menyewa premis perniagaan pilihan mereka sendiri.
  4. Longgarkan sedikit undang-undang pihak berkuasa tempatan supaya tidak menghukum dengan merampas barang jualan mereka.

Saya yakin 4 cadangan saya ini boleh dijadikan dasar permulaan yang kemudian boleh kita perkembangkan lagi mengikut situasi.

JAUHARI JOHAR
23 Mac 2025


Biografi Ringkas

Jauhari Johar ialah seorang aktivis politik, penulis dan penerbit muzik dari Malaysia. Beliau mula mendapat perhatian melalui karyanya yang menggabungkan elemen Melayu dengan sentuhan muzik moden. Kini, fokusnya tertumpu pada usaha memperkukuh budaya Melayu dan memartabatkan pentadbiran berlandaskan prinsip Islam.

Leave a comment

Comments (

0

)