Sejak insiden kekerasan yang dilakukan penguatkuasa DBKL terhadap peniaga belon yang tular baru-baru ini, saya perhatikan penyokong Pakatan Harapan, terutamaya di media sosial seperti X, makin lantang mengherdik dan menghina golongan miskin, seperti peniaga jalanan yang tidak mempunyai lesen.
Dalam post saya sebelum ini, saya ada menegur pihak penguatkuasa kerajaan tempatan supaya jangan bertindak terlalu keras terhadap mereka yang serba kekurangan, baik dari segi pendidikan ataupun kapasiti pemikiran.
Sudah menjadi fitrah bagi manusia untuk mempunyai sifat, kelebihan dan kekurangan yang berbeza-beza.
Dalam ajaran Islam, kita yang telah dikurniakan sedikit kelebihan hendaklah cuba membantu mereka yang berada dalam situasi atau ketentuan hidup yang sukar.
Antara hujah yang dilontarkan oleh penyokong Pakatan Harapan adalah peniaga tersebut telah melanggari undang-undang dengan meniaga tanpa lesen, maka layak untuk dirampas barangan niaganya dan diperlakukan sebegitu rupa.
Ini adalah hujah-hujah mereka yang makin terhakis sifat kemanusiaannya. Tiada lagi sifat empati terhadap saudaranya yang tidak sama taraf dengan mereka.
Mereka gagal memahami bahawa undang-undang sedia ada itu adalah terlalu keras dan perlu diperhalusi dan ditambah baik.
Golongan miskin tidak mempunyai ruang kewangan yang banyak, malah ramai daripada mereka mengalami defisit (perbelanjaan lebih tinggi dari pendapatan) setiap bulan.
Seorang peniaga belon sebagai contoh, perlu membelanjakan wang sebagai kos untuk membeli belon secara pukal dari pembekal belon, dengan belon yang diperoleh inilah perlu mereka jual semula di tengah panas untuk mendapatkan sedikit ruang wang keuntungan.
Dengan keuntungan tidak seberapa inilah yang mereka gunakan untuk mendapatkan sesuap nasi nasi.
Jika pihak berkuasa tempatan merampas belon-belon tersebut, peniaga yang sudah sedia susah ini akan mengalami kerugian dan akan jatuh lebih miskin.
Jadi saya berpendapat bahawa undang-undang PBT ini perlu digubal semula supaya tidak merampas barangan niaga mereka (selain dadah atau produk lain yang memudaratkan).
Kebanyakan daripada peniaga ini realitinya memang mahu mendapatkan lesen berniaga, tetapi tidak mengetahui caranya atau mempunyai kekangan kewangan, pihak PBT perlu dipertanggungjawabkan untuk membantu dan memudahkan cara bagi mereka yang ikhlas hendak mencari rezeki yang halal, bukan menghukum mereka.
Malangnya kebanyakan penyokong Pakatan Harapan terutamanya di X, mahu kekalkan amalan kekerasan terhadap mereka dan tidak mahu mengambil sebarang inisiatif untuk cuba membantu golongan miskin bandar ini.
Quran ada menyebutkan tentang golongan seperti mereka ini di dalam Surah Al-Maa’uun:
(107:1) Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama?
(107:2) Maka itulah orang yang mengherdik anak yatim,
(107:3) Dan tidak mendorong memberi makan orang miskin.
(107:4) Maka celakalah orang yang salat,
(107:5) (Yaitu) orang-orang yang lalai terhadap salatnya,
(107:6) yang berbuat riak,
(107:7) dan enggan (memberikan) bantuan.
Semoga amalan puasa kita pada bulan Ramadan yang lepas dapat memberikan kita manfaat dan pemahaman yang lebih tinggi terhadap Islam, amin.
JAUHARI JOHAR
6 April 2025


Leave a comment