MALAYSIA-RUSIA MAKIN AKRAB

Saya mengikuti secara rapat perkembangan kerajaan Malaysia mengemudi dalam gelora geopolitik dunia yang tidak menentu hari ini.

Sudah tentu serangan tarif (cukai) secara mengejut daripada Amerika Syarikat, disusuli cita-cita mereka untuk masuk campur dalam hal pentadbiran negara Malaysia telah mengundang rasa tidak selesa dari kalangan kita.

Amerika Syarikat menuntut supaya Malaysia melonggarkan syarat pensijilan halal untuk mereka mempertimbangkan penurunan kadar tariff yang dikenakan terhadap negara kita.

Malaysia sebenarnya tersepit kerana Amerika Syarikat adalah antara rakan dagang kita yang terbesar, terutamanya dalam industri semikonduktor (komponen penting dalam sistem AI) yang kita eksport kepada Amerika Syarikat dengan jumlah yang besar.

Namun begitu, lawatan Perdana Menteri Malaysia ke Rusia sempena forum ‘Russia-Islamic World’ di Kazan tahun 2025 ini menampilkan satu anjakan paradigma dalam sejarah hubungan Malaysia-Rusia.

Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Anwar Ibrahim menyatakan secara terbuka niat untuk bukan sahaja berkerjasama dalam industri semikonduktor, tetapi juga merangkumi sektor pendidikan, pertanian, keterjaminan makanan, sekuriti siber, tenaga baru dan juga ketenteraan.

Dato Seri Anwar Ibrahim juga menyeru supaya haluan penerbangan secara terus diantara Rusia dan Malaysia dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan ucapan tahniah kepada PMX mencapai keputusan yang sukar ini. Saya yakin rakyat Malaysia akan teguh bersama Dato Seri berhadapan sebarang tindak balas atau implikasi yang bakal datang, terutamanya daripada kuasa Barat.

Secara peribadi saya percaya ini adalah satu langkah yang tepat demi memelihara kedaulatan dan masa depan Malaysia kita tercinta. Saya sokong penuh keputusan ini.

JAUHARI JOHAR
15 Mei 2025


Biografi Ringkas

Jauhari Johar ialah seorang aktivis politik, penulis dan penerbit muzik dari Malaysia. Beliau mula mendapat perhatian melalui karyanya yang menggabungkan elemen Melayu dengan sentuhan muzik moden. Kini, fokusnya tertumpu pada usaha memperkukuh budaya Melayu dan memartabatkan pentadbiran berlandaskan prinsip Islam.

Leave a comment

Comments (

0

)